Sunday, October 12, 2014

Lawatan bersama MTCP

Pada 3 September 2014, peserta Malaysian Technical Cooperation Program (MTCP) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah mengadakan lawatan ke Kilim Karst Geoforest Park. Program ini melibatkan hampir 30 orang peserta dari beberapa buah negara antaranya Taiwan, Vietnam, Laos, Maldives, Filipina, Malaysia dan beberapa negara dari benua Afrika. Beberapa pegawai dan staf Bahagian Geopark yang diketuai oleh En Mohd Rohaizad telah mengiringi lawatan ini sambil memberi penerangan mengenai setiap tempat yang dilawati.
Taklimat awal telah diberikan sebagai pengenalan mengenai Langkawi Geopark dan maklumat asas mengenai aspek keselamatan. Selepas itu peserta dibawa melawat ke Gua Kelawar untuk melihat keunikan struktur gua seperti stalagtit, stalagmit dan tiang gua. Peserta juga diberi penerangan mengenai spesis kelawar dan fungsi hutan paya bakau untuk kelestarian alam.
Seterusnya, peserta dibawa menyelusuri Sungai Kilim untuk melihat burung helang serta struktur batuan yang terdapat di kawasan ini.
Peserta diberikan peluang untuk berinteraksi secara dua hala dengan pegawai dan staf geopark. Melalui hal ini, peserta mendapat maklumat secara menyeluruh mengenai Langkawi Geopark. Lawatan diakhiri dengan
kunjungan ke taman ikan milik warga tempatan. Di situ, peserta dapat melihat pelbagai jenis ikan yang diternak untuk tujuan pameran.
Program ini tamat sekitar jam 1 tengah hari dengan kenangan manis yang dibawa oleh para peserta ke negara masing-masing. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk mempromosikan Langkawi Geopark serta mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar,



No comments:

Post a Comment